River Plate minta maaf kepada Messi

River Plate memohon maaf secara rasmi kepada bintang Barcelona, Lionel Messi yang diludah oleh penyokong kelab Argentina itu selepas membantu pasukannya menjuarai Piala Kelab Dunia di Yokohama.

Messi menjaringkan gol pembukaan pada perlawanan yang menyaksikan Barcelona mencatat kemenangan 3-0 dengan Luis Suarez meledak dua lagi gol sekali gus membolehkan The Catalan menjulang trofi kelima untuk tahun 2015.

Kapten Argentina itu kemudiannya dilaporkan diludah dan dihina oleh segelintir penyokong River yang mencetuskan provokasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Tokyo ketika Barcelona bersedia menaiki penerbangan pulang ke Eropah.

Tindakan itu dikecam hebat oleh Presiden River, Rodolfo D'Onofrio dan jurulatih kelab, Marcelo Gallardo.

"Susulan insiden yang menimpa Lionel Messi di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, River Plate mengutuk sekeras-kerasnya sebarang tindakan keganasan dan memohon maaf kepada pemain itu dan Barcelona.

"Pada masa sama, River Plate mengucapkan tahniah kepada Barcelona di atas kejayaan menjuarai Piala Kelab Dunia 2015 di Jepun," kata kenyatan rasmi dikeluarkan River.

Messi kini sudah menjaringkan 23 gol dalam 27 aksi final sebagai pemain Barcelona - di landasan terbaik untuk memenangi trofi ke 26 sepanjang kerjayanya termasuk tiga gelaran Piala Dunia Kelab. - Agensi

0 Response to "River Plate minta maaf kepada Messi"

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...