Sewa percuma 6 bulan MARA DIGITAL dikritik oleh orang melayu sendiri

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sedih bila ada orang Melayu sendiri mengkritiknya kerana beri pengecualian sewa selama enam bulan kepada peniaga di MARA Digital.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu berkata, pengecualian sewa itu bertujuan mengurangkan beban peniaga di premis yang juga dikenali sebagai Low Yatt 2 di ibu kota itu.
“Saya dipersalahkan apabila beri pengecualian sewa enam bulan kepada penyewa. Tujuan saya untuk kurangkan bebanan kepada penyewa sebab biasanya tempat baharu perlukan masa untuk dikenali dan maju. Orang ini bimbang jika sewa percuma, peniaga akan turunkan harga dan akan beri saingan kepada peniaga-peniaga di pusat beli-belah lain,” ujarnya dalam status di laman media sosialnya hari ini.
Bagaimanapun beliau tidak menamakan individu Melayu yang mengkritik tindakannya itu.
Menurut Ismail Sabri, MARA Digital bukan sahaja menjual telefon bimbit tetapi juga aksesori produk teknologi maklumat (IT) lain.
“Bagi saya terserah kepada kebijaksanaan peniaga. Yang saya hairan sepatutnya kita suka harga turun. Sepatutnya kita suka sewa percuma untuk bantu orang Melayu tetapi saya dihina dan dicerca kerana hendak tolong Melayu,” katanya.
Justeru, beliau berharap MARA Digital terus mendapat sokongan orang-orang Melayu dan bumiputera dan dirancang dibuka ke seluruh negara tidak lama lagi.
“Saya tidak kisah kalau tidak mahu sokong tapi jangan cuba gagalkan. Walaupun apa pun halangan dan rintangan ianya tidak akan melemahkan semangat saya tapi akan saya jadikan ini sebagai cabaran,” jelasnya.
Terdahulu, Ismail Sabri menyatakan apabila beliau melancarkan MARA Digital yang khusus untuk usahawan Melayu sambutan daripada orang ramai sangat menggalakkan.
“Sekurang-kurangnya usahawan bumiputera yang selama ini tidak mendapat tempat di pusat IT lain dapat diberi peluang.
“Bagaimanapun, ‘pihak lain’ menentangnya sejak daripada awal Low Yatt 2 ini diumumkan lebih-lebih lagi bila MARA Digital diumumkan. Ada yang beri tiga bulan sahaja untuk MARA Digital ini boleh hidup,” katanya.–MalaysiaGazette

Sumber : Media lantang

0 Response to "Sewa percuma 6 bulan MARA DIGITAL dikritik oleh orang melayu sendiri"

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...